wahyu tursina

Wednesday, March 14, 2007

 

BICARA HAWA...

Lama memandang skrin komputer, tidak tau apa yang hendak ditulis. Teringat akan bait bicara seorang teman berkenaan makanan halal dan haram setelah beliau pulang dari kursus Perkongsian Bijak Cemerlang anjuran syarikat Herba Penawar Al-Wahida (HPA). Walaupun sedikit terkilan tidak dapat turut serta dalam kursus tersebut lantaran kekangan yang sememangnya itulah alasan yang sering kita gunakan. Namun, syukur alhamdulillah..perkongsian dari seorang teman, sedikit sebanyak cukup terkesan di hati.

Benarlah, apa yang kita makan, itulah yang akan membentuk diri kita, dan itulah kita. Dengan kata lain, kita adalah apa yang kita makan. Menilai balik barangan yang kita gunakan sehari-hari, makanan yang kita makan sehari-hari untuk teruskan kehidupan, masih banyak lagi keraguan..halal dan haramnya, sumber bahannya, semuanya perlu dititikberatkan agar makanan yang bakal membentuk sel darah ini suci seterusnya mudah untuk lebih dekat pada-Nya.

Namun, tidak lupa juga...Apa yang membimbangkan ialah lambakan makanan dan barangan keluaran mereka yang sememangnya jelas menyatakan sokongan terhadap Yahudi laknatullah sering kita ambil mudah, malah itulah yang sering kita gunakan dan kita makan. Di luar sana, umat Islam ditindas, menjadi mangsa kekejaman mereka, tapi kita masih lagi selesa menggunakan barangan yang memberi keuntungan kepada mereka. Ahh...di mulut menyatakan kebesaran Allah, tetapi di bibir kita juga masih lagi ada barangan haram yang kita makan. Astaghfirullahal azim...

Melihat video yang ditunjuk sahabat, cukup sebak melihat kekejaman yang dilakukan terhadap saudara seaqidah kita. Tapi, apa usaha kecil kita untuk sama-sama membantu saudara seaqidah kita dari terus ditindas begitu. Ayuh sahabat! Mulakan hari ini dengan sekecil-kecil usaha..Boikot apa jua barangan keluran yang menjadi kaum kerabat mereka yang ingin menjatuhkan maruah umat Islam hari ini!!!
Hawa, syukran atas perkongsian...

 

:: KASIHI BONDA ::

Tertarik dengan gelagat anak kecil pemegang watak utama rancangan MUTIARA HATI. Namun, cukup terkesan dengan lagu tema...doa dari seorang anak yang benar-benar mendambakan kasih sayang seorang ibu….

Kurindu kasih sayangmu
Kau pergi tinggalkanku
Masih lekat di hati ini
Kau bilang ku mutiara hati

Kuingin berjumpa denganmu
Bonda telah menghadap Ilahi
Biarkanlah dalam mimpi
Untuk menghapus semua rinduku

Ya Allah
Berikanlah aku
Bonda yang berhati mulia
Sebagai ganti dia yang pergi
Untuk membimbing menuju rindu-Mu

Bajakanlah cahaya-Mu
Pada jiwaku ini
Untuk dapat rahmat kurnia-Mu

Satu pengajaran yang boleh kita ambil sebagai insan yang yang bergelar anak. Hargailah selagi ibu masih lagi bersama kita. Lakukan yang terbaik untuknya lantaran kita tak mampu untuk membalas segala kasih sayang yang dicurahkan..Belaian ibu..kucupan mesra ibu...

Dan...satu perkara yang perlu difikirkan...sama-sama kita menghargai sesiapa jua yang masih ada di sekeliling kita. Bimbang kiranya kita hanya merasai betapa insan itu cukup bermakna dalam hidup kita, tapi setelah kita kehilangannya. Ketika itu, kita menyesal dan yang pastinya, penyesalan itu tiada gunanya...

SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU...

Kasihi BONDA....

 

AMPUNKANLAH DOSA...

Ampunkanlah dosa kami Tuhan
Kami selalu membuat dosa
Maafkanlah kami wahai Tuhan
Agar selamat kami dari neraka

Anugerahkanlah kami taubat-Mu Tuhan
Engkau adalah penerima taubat
Kami tak mampu masuk neraka-Mu
Kerana azabnya terlalu dahsyat tidak terperi

Dengan rahmat-Mu Tuhan
Ampunkanlah kami
Atau dengan kemaafan-Mu ampunkanlah kami
Kalau Engkau azab kami
Kami kan jua hamba-Mu Tuhan
Kebesaran-Mu tetap tidak terjejas
Kau ampunkan kami
Keagungan-Mu tidakkan tergugat
Kerana tiada siapa yang boleh mengingkar
Kerana setiap itu adalah ciptaan-Mu

Kami sentiasa mengharap
Kami sentiasa meminta
Kami takkan berputus asa
Dengan-Mu selama-lamanya
Kami tidak jemu-jemu meminta
Dengan rahmat-Mu

Sekadar perkongsian:
Sebuah lirik lagu nasyid yang penulis kira boleh dihayati untuk memohon maghfirah-Nya... Astaghfirullahal'azim...cukup terkesan.

Wednesday, March 07, 2007

 

GURU DALAM PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA

Pendidikan dan pembinaan negara adalah berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara tidak akan tercapai. Sesebuah negara perlukan warganegara yang terdidik dalam semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pernyataan di atas menggambarkan peranan utama yang diharap dapat dilaksanakan oleh sistem pendidikan formal di Malaysia dalam membina bangsa yang bersatu dan moden. Situasi ini juga menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu digalas oleh guru dalam mendidik anak bangsa menacapai matlamat negara. Namun, guru yang mempunyai tahap keprofesionalan yang tinggi perlu jelas akan amanah mereka yang sebenar iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi ilmu serta akhlak moral agar segala ilmu yang diperoleh dapat disalurkan kepada kebaikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Justeru, penulis melihat betapa pentingnya watak-watak murni untuk dibentuk dalam diri pelajar agar hasrat untuk mencapai produk yang berkualiti menjadi realiti.

Untuk itu, nilai-nilai murni yang merentasi kurikulum dan kokurikulum perlu diwujudkan dalam sistem pengajaran di sekolah lantaran nilai adalah ukur tara terhadap sesuatu benda, perkara, perbuatan dan amalan. Nilai juga melibatkan persepsi minda dan hati berasaskan sifat dan syarat tertentu yang serasi dan sejalan dengan fitrah. Baik pada ukuran nilai tidak sahaja pada pertimbangan akal dan rasional tetapi juga pada hati dan terlihat dalam amalan dan percakapan. Penerapan watak nilai murni kemanusiaan ini memandu manusia agar hidup bertatahkan adab agar pembinaan bangsa itu berada di tahap yang tinggi dari segi ilmu dan akhlaknya.

Dalam proses pendidikan ini, guru berperanan mendidik manusia supaya faham makna diri, makna Pencipta dan makna persekitaran dengan ilmu sebagai medium utama. Dalam pengajaran di sekolah, ilmu diolah menjadi kurikulum dan ia menjadi fokus dalam menyusun sukatan. Bagaimana penerapan nilai yang sewajarnya, bergantung kepada kebijaksanaan melaksanakan proses pedagogi dalam bilik darjah. Hal yang sama juga berkait dengan kegiatan ko kurikulum sama ada bentuknya sukan dan permainan, kesenian dan persatuan, ianya berkembang dalam batas nilai.

Dalam pendidikan perlu ada nilai-nilai teras yang sifatnya fundamental seperti amanah, jujur dan ikhlas, hormat-menghormati serta adil dan bijaksana. Nilai-nilai teras di samping nilai-nilai tambahan dan kembangan harus disuburkan secara kreatif dan bijaksana agar watak yang bersih sifatnya dapat digarap dalam jiwa pelajar. Dalam hal ini, guru atau pendidik merupakan fokus utama dalam penerapan nilai. Murid atau pelajar mengalami proses perpindahan ilmu, maklumat dan ketrampilan. Matlamat akhir pendidikan ialah berlakunya transformasi diri dan penitipan adab kepada diri pelajar. Pada diri guru harus ada sifat muallim, murabbi dan pelbagai sifat-sifat pendidik yang tinggi lain agar proses pendidikan ini dapat dilihat sebagi proses bina insan. Sifat-sifat ini hendaklah terlihat dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan ianya boleh menyebabkan berlakunya transformasi diri. Pada diri pendidik ada contoh yang fitrah sifatnya dan seperti ibu bapa juga, guru berada di peringkat kedua menjadikan dirinya teladan dan sumber ikutan para pelajar.

Subjek-subjek yang diajar oleh guru juga perlu diterap elemen nilai. Pengajaran tidak hanya bermaksud menjadikan pelajar tahu tentang sesuatu atau memiliki ketrampilan yang tertentu tetapi bagaimana pengetahuan menjadikannya bijaksana. Oleh itu, ilmu yang diajar oleh guru harus dikaitkan dengan pembentukan watak agar ianya relevan dengan kepentingan hidup pelajar. Mengajar subjek bahasa umpamanya tidak sahaja mendidik mereka tentang aspek kata dan istilah, frasa dan ayat tetapi pada frasa dan ayat terkandung makna. Makna inilah yang harus dikembangkan secara kreatif supaya mempelajari bahasa tidak saja memberikan pelajar kemahiran bercakap, menulis, mengarang dan mengembangkan pemikiran tetapi sekaligus meninggikan akal budi mereka.

Pembinaan watak melalui kegiatan ko kurikulum juga amat penting dalam mengembangkan lagi bakat dan minat para pelajar supaya ianya menjadi persiapan kepada pelajar dalam menghadapi realiti hidup dan cabaran yang mendatang. Disiplin dalam organisasi, adab dalam bersukan dan berseni menjadi aset yang penting kepada pelajar dalam membentuk jiwa kepimpinan dalam diri mereka. Hakikatnya, pembabitan pelajar dalam organisasi merupakan suatu jambatan kepada membina keperibadian, ketrampilan dan ciri kepimpinan yang akan mempengaruhi hala tuju kehidupan pelajar tersebut pada masa akan datang.

Watak-watak berkeperibadian yang tinggi serta kepimpinan berasaskan nilai inilah secara tidak langsung yang akan menghasilkan produk berkualiti untuk kemajuan negara pada masa akan datang untuk meneroka kemajuan dan perubahan yang sifatnya membangun bukan meruntuhkan. Inilah peranan utama guru yang mempunyai tahap profesianal yang tinggi dalam pembentukan watak insan kamil demi kepentingan pembentukan negara bangsa.

Monday, March 05, 2007

 

PAHLAWAN ITU BERNAMA AL BANNA

"Betapa inginnya kami agar umat ini mengetahui, bahawa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Kami berbangga ketika jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan. Atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan, kemuliaan dan terwujudnya cita-cita mereka, jika memang itu harga yang harus dibayar. Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini selain rasa cinta yang mengharu-biru hati kami, menguasai perasaan kami, dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mata kami. Betapa berat rasa di hati kami menyaksikan bencana yang mencabik-cabik umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah pada kehinaan dan pasrah oleh keputusasaan.

Sungguh kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kalian wahai saudara-saudara tercinta. Sesaat pun kami tidak akan pernah menjadi musuh kalian."

Inilah ungkapan yang disampaikan al Banna dalam risalah Da'watuna. Ungkapan yang hanya lahir dari seorang da'ie pejuang dan pahlawan sejati. Sebuah contoh dan pelajaran berharga bagi para da'ie dan para pemimpin yang dipundaknya diletakkan tanggungjawab dan amanah umat ini.


PAHLAWAN ITU BERNAMA AL BANNA: SOSOK DA'I, PEJUANG DAN PAHLAWAN SEJATI
Muhammad Abdullah Al Khatib
Pustaka Nauka, 2006