Wednesday, March 07, 2007
GURU DALAM PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
Pendidikan dan pembinaan negara adalah berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara tidak akan tercapai. Sesebuah negara perlukan warganegara yang terdidik dalam semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pernyataan di atas menggambarkan peranan utama yang diharap dapat dilaksanakan oleh sistem pendidikan formal di Malaysia dalam membina bangsa yang bersatu dan moden. Situasi ini juga menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu digalas oleh guru dalam mendidik anak bangsa menacapai matlamat negara. Namun, guru yang mempunyai tahap keprofesionalan yang tinggi perlu jelas akan amanah mereka yang sebenar iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi ilmu serta akhlak moral agar segala ilmu yang diperoleh dapat disalurkan kepada kebaikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Justeru, penulis melihat betapa pentingnya watak-watak murni untuk dibentuk dalam diri pelajar agar hasrat untuk mencapai produk yang berkualiti menjadi realiti.
Untuk itu, nilai-nilai murni yang merentasi kurikulum dan kokurikulum perlu diwujudkan dalam sistem pengajaran di sekolah lantaran nilai adalah ukur tara terhadap sesuatu benda, perkara, perbuatan dan amalan. Nilai juga melibatkan persepsi minda dan hati berasaskan sifat dan syarat tertentu yang serasi dan sejalan dengan fitrah. Baik pada ukuran nilai tidak sahaja pada pertimbangan akal dan rasional tetapi juga pada hati dan terlihat dalam amalan dan percakapan. Penerapan watak nilai murni kemanusiaan ini memandu manusia agar hidup bertatahkan adab agar pembinaan bangsa itu berada di tahap yang tinggi dari segi ilmu dan akhlaknya.
Dalam proses pendidikan ini, guru berperanan mendidik manusia supaya faham makna diri, makna Pencipta dan makna persekitaran dengan ilmu sebagai medium utama. Dalam pengajaran di sekolah, ilmu diolah menjadi kurikulum dan ia menjadi fokus dalam menyusun sukatan. Bagaimana penerapan nilai yang sewajarnya, bergantung kepada kebijaksanaan melaksanakan proses pedagogi dalam bilik darjah. Hal yang sama juga berkait dengan kegiatan ko kurikulum sama ada bentuknya sukan dan permainan, kesenian dan persatuan, ianya berkembang dalam batas nilai.
Dalam pendidikan perlu ada nilai-nilai teras yang sifatnya fundamental seperti amanah, jujur dan ikhlas, hormat-menghormati serta adil dan bijaksana. Nilai-nilai teras di samping nilai-nilai tambahan dan kembangan harus disuburkan secara kreatif dan bijaksana agar watak yang bersih sifatnya dapat digarap dalam jiwa pelajar. Dalam hal ini, guru atau pendidik merupakan fokus utama dalam penerapan nilai. Murid atau pelajar mengalami proses perpindahan ilmu, maklumat dan ketrampilan. Matlamat akhir pendidikan ialah berlakunya transformasi diri dan penitipan adab kepada diri pelajar. Pada diri guru harus ada sifat muallim, murabbi dan pelbagai sifat-sifat pendidik yang tinggi lain agar proses pendidikan ini dapat dilihat sebagi proses bina insan. Sifat-sifat ini hendaklah terlihat dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan ianya boleh menyebabkan berlakunya transformasi diri. Pada diri pendidik ada contoh yang fitrah sifatnya dan seperti ibu bapa juga, guru berada di peringkat kedua menjadikan dirinya teladan dan sumber ikutan para pelajar.
Subjek-subjek yang diajar oleh guru juga perlu diterap elemen nilai. Pengajaran tidak hanya bermaksud menjadikan pelajar tahu tentang sesuatu atau memiliki ketrampilan yang tertentu tetapi bagaimana pengetahuan menjadikannya bijaksana. Oleh itu, ilmu yang diajar oleh guru harus dikaitkan dengan pembentukan watak agar ianya relevan dengan kepentingan hidup pelajar. Mengajar subjek bahasa umpamanya tidak sahaja mendidik mereka tentang aspek kata dan istilah, frasa dan ayat tetapi pada frasa dan ayat terkandung makna. Makna inilah yang harus dikembangkan secara kreatif supaya mempelajari bahasa tidak saja memberikan pelajar kemahiran bercakap, menulis, mengarang dan mengembangkan pemikiran tetapi sekaligus meninggikan akal budi mereka.
Pembinaan watak melalui kegiatan ko kurikulum juga amat penting dalam mengembangkan lagi bakat dan minat para pelajar supaya ianya menjadi persiapan kepada pelajar dalam menghadapi realiti hidup dan cabaran yang mendatang. Disiplin dalam organisasi, adab dalam bersukan dan berseni menjadi aset yang penting kepada pelajar dalam membentuk jiwa kepimpinan dalam diri mereka. Hakikatnya, pembabitan pelajar dalam organisasi merupakan suatu jambatan kepada membina keperibadian, ketrampilan dan ciri kepimpinan yang akan mempengaruhi hala tuju kehidupan pelajar tersebut pada masa akan datang.
Watak-watak berkeperibadian yang tinggi serta kepimpinan berasaskan nilai inilah secara tidak langsung yang akan menghasilkan produk berkualiti untuk kemajuan negara pada masa akan datang untuk meneroka kemajuan dan perubahan yang sifatnya membangun bukan meruntuhkan. Inilah peranan utama guru yang mempunyai tahap profesianal yang tinggi dalam pembentukan watak insan kamil demi kepentingan pembentukan negara bangsa.