wahyu tursina

Monday, February 26, 2007

 

RISALAH USRAH

USRAH PIMPINAN PKPIMUTM
6 OGOS 2006 bersamaan 12 Rejab 1427 H
Oleh: Norwahyu Ab. Manaf

SEBAB-SEBAB KECICIRAN DARI JALAN DA’WAH

PERTAMA: SEBAB-SEBAB YANG BERHUBUNG DENGAN GERAKAN (HARAKAH)

1. Kelemahan Sudut Tarbiyyah
2. Tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai

MUQADDIMAH

Kewajipan memperjuangkan agama Allah dan menyeru ke jalan-Nya adalah suatu tanggungjawab yang berat serta mempunyai pelbagai dimensi yang tidak akan mampu ditangani oleh perseorangan. Kewajipan ini perlu dilaksanakan secara kolektif dalam bentuk organisasi atau jemaah. Untuk keberkesanan dakwah, para du’ah perlu dilengkapi dengan pelbagai persediaan dari segi mental, fizikal ,rohani dan disusun dengan program yang terancang serta menjadi tunjang tarbiyyah. Justeru, anggota harakah sama ada pimpinan (qiyadah) atau pejuang (jundiyyah) perlu mengikuti tarbiyyah biar betapa sibuk dalam apa jua keadaan sekalipun.
Lantaran manusia punya peranan dan kemampuan yang terbatas, anggota harakah mesti ditarbiyyahkan ke arah membina kekuatan aqidah yang membina sakhsiyyah dengan sifat-sifat Islam, di mana peranannya dalam gerakan Islam amatlah penting. Peranannya bukanlah penyebar dakyah yang bergantung semata-mata kepada kata-kata yang indah dan gaya yang menarik, tetapi perkara yang lebih besar iaitu membentuk ummat atau pembantu ke arah itu. Namun, setiap angota harakah perlu jelas bahawa harakah hanya lah merupakan wasilah (alat) untuk mencapai matlamat yang satu iaitu ISLAM.

USRAH TUNJANG TARBIYYAH

Usrah berasal daripada bahasa Arab yang bererti “keluarga”. Dalam konteks jemaah Islam atau pertubuhan da’wah, perkataan ini digunakan untuk menggambarkan hubungan persaudaraan yang erat lagi mesra yang diharapkan terjalin antara para anggotanya seolah-olah mereka daripada sebuah keluarga.
Usrah bertujuan membina ukhuwwah Islamiah yang kental di kalangan anggota gerakan berasaskan iman dan ilmu yang mendorong peningkatan amalan jihad. Kepentingan usrah dalam proses pentarbiyyahan PKPIM adalah jelas kerana ia merupakan satu-satunya penglibatan yang wajib ke atas ahli-ahli PKPIM di kampus untuk menghadirinya setiap minggu, kecuali ada keuzuran yang bersifat syar’i atau masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. Seperti yang diakui bahawa kemantapan gerakan bergantung kepada keberkesanan usrah-usrah yang dijalankan. Keberkesanan usrah pula bergantung kepada disipilin yang tinggi di kalangan anggotanya.

Rukun usrah:
a) Ta’aruf (kenal-mengenali)
b) Tafahum (Persefahaman)
c) Taawun (Bantu-membantu)
Eleman-elemen dalam rukun usrah perlu diberi penekanan agar ahli-ahli usrah dapat mengetahui keupayaan anggotanya, kebolehan dan kecenderungan mereka serta dapat mengetahui titik kekuatan dan kelemahan mereka. Dengan ini, harakah dapat memilih dan memberi tugas kepada seseorang mengikut apa yang sesuai dengan kebolehan dan kecenderungan.

BUDAYA 7 PKPIM

Bagi menyempurnakan kejayaan yang diimpikan pastinya bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia pelu melalui fitrah manusia yang menjadi ‘abdi kepada Allah dan khalifah di muka bumi dan bermatlamatkan kepada-Nya. Maka, segala-galanya mestilah dibina berlandaskan iman dan amal peribadi atau jamai’, yang ditingkatkan melalui proses ilmu dan amal.
Bagi menjelaskan perkara ini, dikemukakan beberapa aspek yang wajib diberi perhatian oleh harakah Islamiyyah PKPIM dan pendukungnya. Aspek-aspek ini sebenarnya telah disusun cantik dalam “BUDAYA 7 PKPIM” dalam usaha pembinaan generasi yang dicitakan iaitu ‘Membina Generasi Rabbani’.

1) Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia.
Ilmu merupakan suatu perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu Muslim kerana ia adalah perkara pokok pembinaan ummat dan ketamadunan. Islam mengasaskan kepada kekuatan dan pembudayaan ilmu dalam kehidupan Muslim, di mana surah yang pertama yang diturunkan adalah Surah Al-Alaq. Pembinaan awal TARBIYYAH ISLAMIYYAH adalah dengan asas ilmu.
Pengukuhan keilmuan dan penghayatannya akan membawa kepada pembinaan sakhsiyyah Islamiyyah dan menjadikan kita sebagai pemimpin yang mampu berfikir dengan tepat dan membuat keputusan dengan penuh pertimbangan.

2) Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
Budaya ini mempunyai kaitan yang amat rapat denan budaya pertama berhubung dengan ilmu dan akhlak. Dengan adanya kekuatan ilmu dan akhlak akan membawa kepada pembinaan sakhsiyyah Islamiyyah yang mana menjadikan diri kita berkemampuan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk berdakwah.

3) Memperkasa amalam kerohanian
Memperkukuhkan amalan kerohanian amat dituntut, digalakkan dan suatu keutamaan kerana amalan kerohanian mempengaruhi pembentukan hati (Qalb). Tanpa pemerkasaan dan amalan kerohanian yang konsisten dan berterusan menyebabkan ROH tidak terbina dan seterusnya diserang penyakit rohani, yang mana ROHnya tidak terbina kerana tiada hubungan dengan Allah.
HATI adalah PUSAT INTERAKSI antara pendakwah dengan segala arahan dan perundangan yang mendatanginya, sehinggakan hati mempunyai pengaruh dalam mencurahkan idea-idea serta merasakannya bersama-sama akal. (Sheikh Fathi Yakan). Firman Allah yang bermaksud:
“Tidakkah mereka menjelajahi di muka bumi agar mereka mempunyai hati yang boleh berfikir atau telinga yang boleh mendengar. Maka sesungguhnya bukanlah mata mereka yang buta, tetapi hati yang berada di dalam dada itulah sebenarnya yang buta.”
(Al-Hajj: 46)

4) Memperkasa semangat Ukhuwwah
Ustaz Abdul Wahab Zakaria menyatakan di dalam himpunan kertas kerja beliau yang dibukukan berjudul: “Konsep Kepimpinan dalam Islam”, asas perhubungan adalah:
a) Persaudaraan
b) Kasih sayang
c) Kerjasama dan kebajikan
d) Berpegang teguh kepada hukum Allah
e) Sentiasa ada perhubungan
f) Patuh kepada pimpinan

5) Menghayati amalan syura, amal jamaiy dan budaya kerja terancang.
Kunci kejayaan dan keberhasilan gerakan memerlukan organisasi yang mempunyai tanzim dan perencanaan. Manhaj Islam terletak di atas prinsip keteraturan serta kerapian. Ia dibina dengan kaedah-kaedah yang sistematik dan cermat.
Beberapa prinsip penting organisasi yang perlu diberi perhatian:
a) Syura (perbincangan)
b) Menghormati keputusan
c) Amal Jamaiy

6) Prihatin dan beriltizam dengan isu-isu semasa
Generasi muda dan pendokong gerakan perlu terlibat dalam isu-isu sosial dan kemasyarakatan seperti isu kemiskinan, penyalahgunaan kuasa, pendidikan, aqidah, ekonomi dan sebagainya melaui forum, seminar atau bengkel.
As-Sheikh Yusuf Al-Qardhawi menggesa semua gerakan Islam yang beroperasi supaya bertindak sebagai sebuah gerakan yang merakyat. Gerakan Islam yang efektif, menurut beliau ialah sebuah gerakan yang yang melibatkan diri bersama massa dengan suatu penyusuna rapi secara berjemaah demi mengembalikan semula Islam ke pangkuan kepimpinan masyarakat dan seterusnya menentukan hala tuju kehidupan.

7) Menghayati Ruhul Jihad fi sabilillah
Ruhul Jihad Fisabilillah perlu sentiiasa dihayati terutamanya dalam berhadapan dengan mehnah kebendan dan keghairahan mencari kemewahan hidup. Sesungguhnya jihad adalah satu revolusi iman yang begitu tinggi dan mulia di sisi Allah.
“Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapat keberuntungan”.:
(Al-Maidah: 35)

FITNAH

Firman Allah yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yag diketahuiNya orang yang berdusta.”

(Al-Ankabut: 2-3)

Begitulah berlaku sejarah perjuangan Islam. Bahkan menjadi sunnahnya dalam proses tarbiyyah secara prakitkal, dahulu, sekarang dan akan datang. Lantaran iman itu bukan sahaja kalimah yang diucap tetapi juga hakikat yang mempunyai tanggungjawab, amanah yang manjadi bebanan, jihad yang memerlukan kesabaran.
Seseorang itu boleh menepuk dada mengaku ikhlas, kuat, berani, dan sebagainya. Oleh itu menjadi suatu hikmah yang besar adanya tarbiyyah bukan dengan hanya cakap dan amalan sahaja tetapi mestilah mengalami prosesnya di dunia ini.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di manakah tahap yang dicapai oleh hambaNYa, di mana ujian yang dialami adalah munasabah dengan peningkatan kefahaman dan amal yang dlilakukan, sehingga terisinya di dalam diri hambaNya sifat-sifat kelayakan yang memungkinkan mereka berdiri tegak dengan kalimahnya.

PENUTUP

Sesuatu gerakan yang daya tarbiyyahnya lemah dan tidak dapat mentarbiyah seluruh anggotanya serta tidak melekkan seseorang di tempat yang sesuai akan mencacatkan gerakan itu sendiri. Justeru, manhaj tarbiyyah hendaklah sentiasa dikaji dan diperbaharui supaya sesuai dengan keperluan dan suasana. Kegiatan tarbiyyah tidak boleh terputus atau terhenti kerana sesuatu darurat atau kerana sesuatu program. Pemilihan tempat ataupun tugas yang sesuai untuk seseorang juga perlu diperhalusi dan diteliti agar tiada sahabat-sahabat di kalangan kita yang tercicir di jalan da’wah. Akhir kalam, moga segala urusan untuk kita menuju ke syurga dipermudahkan..wassalam.

Rujukan:

Al- Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi, Bimbingan untuk Mencapai Tingkat Mukmin (Ringkasan dari Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali, Vitory Agencie, 2005

Fathi Yakan, Golongan Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah, Dewan Pustaka Fajar, 2004

Hj. Abdul Hadi Awang, Islam: Fikrah, Harakah dan Daulah, Dewan Pustaka Fajar, 2003

Khairul Arifin Mohamad Munir, Jiwai Budaya-Menghadami Seluruhnya, Induksi Majlis Tarbiyyah 2004, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, 2004

Syed Mikael Rizal Aidid, Cintai Usrah-Menghargai Sumbangannya, Induksi Majlis Tarbiyyah 2004, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, 2004


 

:: SUATU TUNTUTAN ::

Alhamdulillah…masih diberi kekuatan dan keupayaan larikkan pena. Syukur…Begitu besar nikmat pemberian-Mu, yang pastinya punya hikmah yang tersembunyi.

Sebaik sampai di kolej, terus terbayang longgokan kerja dan tugasan yang masih belum selesai. Projek Sarjana Muda, ujian dan amanah yang dipertanggungjawabkan, kadang-kadang terasa berat untuk digalas...namun, itulah hakikat yang perlu diterima, lantaran pentarbiyyahan Allah untuk mujahidah yang memburu mahkota bidadari syurgawi itu bukannya mudah...pasti ada onak dan cabaran.

TANGGUNGJAWAB...perkataan yang begitu sinonim semenjak kekhalifahan manusia di muka bumi. Walau pelbagai definisi, namun dinamakan tanggungjawab kerana ia wajib ditanggung di dunia, manakala di akhirat ia akan disoal dan dijawab di depan Allah di mahkamah Mahsyar kelak.

“Seorang lelaki itu adalah penanggungjawab dan akan ditanyai tentang tanggungjawabnya. Dan seorang wanita itu penanggungjawab dan akan ditanyai tentang tanggungjawabnya.” (Hadith riwayat muttafaq alaih)

Tanggungjawab sebagai anak, pelajar dan apa jua status perlu dianalisis teliti dengan kurnia akal agar matlamat adalah selari dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t.

Lahirnya anak diiringi dengan kalimah toyyibah, diberi nama yang baik, dibuatkan aqiqah, dijaga maruah dan kehormatannya, diberi makan minum yang halal dan berzat, diberi didikan agama dan adab sehinggalah dikahwinkan apabila sampai masanya. Begitulah lazimnya kasih-sayang ibu bapa kepada anak-anak...Tabarokallah...Namun, sejauh mana kita mampu untuk melakukan yang terbaik untuk mereka, satu persoalan yang wajar sama-sama kita fikirkan sebagai anak. Bimbang masih ada lagi hati yang terguris lantaran sikap si anak...

Sebagai hamba Allah, terfikir dek akal sebanyak mana masa yang diperuntukkan untuk mengingati-Nya. Memilih untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran atau membelek majalah hiburan, qiyamullail sebagai sumber kekuatan luar biasa seoarang bergelar dai’e atau memilih untuk tidur dengan mimpi indah, puasa sunat pendisiplin diri atau memilih penuhkan perut selagi boleh diisi, berjemaah di masjid atau memilih untuk tidur menunggu jemaah selesai. Bimbang masjid yang begitu indah alunan suara seorang imam membacakan ayat-ayat kebesaran Allah banyak meninggalkan ruang-ruang kosong...Bukan hanya kuantiti, tapi kualiti perlu dimuhasabah. Malah, bertambah risau amalan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan ganjaran semata-mata, bukan kerana rindu pada-Nya.

Hablum minannas...Pastinya tidak lengkap tanggungjawab seorang yang yang beriman tanpa hubungan yang baik sesama manusia.

“Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Saling nasihat-menasihati, tolong menolong, berkasih-sayang dengan niat ikhlas lillahi taala. Yang salah, sama-sama perbetulkan, yang lalai, sama-sama ingatkan agar bi’ah solehah ini sentiasa segar seterusnya halawatul ukhwah itu dapat dikecap bersama.

Yang pastinya, tanggungjawab tidak pernah selesai, hinggalah kiamat kelak, setelah amal dihisab. Mulakan apa jua gerak geri dengan kebaikan, insyaAllah baik jugalah pengakhirannya lantaran yang haq itu tidak boleh selari dengan kebatilan. Ayuh...Kembali kepada Yang Haq!

Thursday, February 08, 2007

 

DESTINASI

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, rasa syukur masih lagi diberi nafas mengecap nikmat iman dan Islam, nikmat paling agung menuju cinta ILAHI. Benarlah, peluang sentiasa terbuka buat hambaNYA yang ingin sentiasa bertaqarrub pada Pencipta...agar punya tempat di sisiNYA.

"....Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwaNYA di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNYA (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-Hujurat: 13)

Tika pena lancar dengan coretan ini, ingatan terhadap sahabat bermain-main di kotak fikiran. Betapa bertuah punya sahabat seperjuangan, yang punya satu matlamat..membawa misi rahmatan lil alamin. Merenung amanah yang dipertanggungjawabkan bersama, rasanya tidak tertanggung amanah khalifah di muka bumi ini. Namun, inilah hakikat yang perlu sama-sama kita fikirkan. KeranaNya kita di landasan ini, dan inilah antara rahmat dan kasih sayangNya untuk mengangkat darjat dan tahap keimanan insan pilihanNya. Walau kita bukan anbiya', bukan ulama',bukan juga auliya', tapi kita berpeluang menjadi syuhada'…

Buat sahabat, walau di mana jua berada..bulatkan tekad agar kalamullah dan risalah kenabian terus subur di muka bumi ini. Segala ujian, anggaplah tarbiyyah terus dari ALLAH.

"...Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman."
(Ali Imran: 139)

Ayuh sahabat, bersama doakan sahabat-sahabat yang lain. Merenung diri, betapa kerdilnya diri.

Ya Allah
Terasa kerdilnya diri
Aku menadah tangan dan mohon padamu
dengan syahdu menyebut namaMu...

"Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah. Tuhan semesta alam, tiada sekutu baginya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah)".
(Al-An'am: 162-163)

Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah...

 

RENUNGAN...

"Dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang..."