Monday, July 14, 2008
:: SINAR BARU ::
Alhamdulilah...setinggi-tinggi kesyukuran buat Yang Maha Esa, masih diberi nikmat iman dan Islam, namun apa yang penting masih lagi diberi peluang melaksanakan tanggungjawab khalifah di muka bumi ini, walau terkadang tidak menang tangan dengan tugas dan amanah di sekolah. Namun, jauh di sudut hati, terasa beruntungnya diri dianugerahkan seorang teman dan sahabat, insyaAllah sahabat di dunia dan di akhirat untuk sama-sama menyebarkan roh Islam buat mad’u di sekolah, hanya dengan satu matlamat, mewujudkan bi’ah Islamiyyah demi redha-Nya.
Tanggal 27 hingga 29 Jun yang lalu, dipilih Allah bersama sahabat, Kak Ida mengiringi 7 orang pelajar ke Program Pembangunan Nuqaba’ Sekolah-sekolah Menengah Negeri Johor anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan KRJ Innovation bertempat di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Perjalanan yang membawa banyak pengalaman yang amat bermakna, lantaran para pelajar beroleh pendedahan mengenai pengendalian usrah dan ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada bagi seorang nuqaba’, rasa syukur...anak-anak didik diberi peluang sama seperti kami bergiat di arena dakwah sepanjang berada di kampus dulu. Apa yang amat terkesan bagi jiwa anak-anak ini, mereka dapat menghayati erti kemanisan sebenar ukhwah dan usrah dalam memainkan peranan sebagai agen kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Malah, mereka seolah-olah mendapat semangat baru untuk sama-sama berkongsi kemanisan berusrah bersama-sama sahabat-sahabat lain di sekolah.
Malah, peluang berkenalan dan berkongsi pengalaman bersama-sama sahabat dari sekolah lain cukup memberi erti yang besar kepada mereka mengenai persaudaraan Islam. Peluang ini juga dapat membuka minda dan pemikiran mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar seterusnya menjadi naqib, dan yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini.
Namun, apa yang cukup menyentuh hati kami sebagai guru, anak-anak ini dapat melaksanakan usrah sebaik sahaja tiba di sekolah. Terbukti, anak-anak ini punya jiwa kebaikan, cuma perlu ada sokongan dan bimbingan. Tiada kata yang paling bermakna dari cikgu buat kalian melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana anak-anak murid cikgu punya semangat baru untuk melakukan perubahan di sekolah kita. Sama-sama kita doakan, moga roh ukhwah dan Islam dapat sama-sama kita rasai bersama warga SMK Permas Jaya 3...