Monday, July 14, 2008
:: MEREKA ISTIMEWA ::
Lama menetap skrin, tak tau apa yang hendak ditulis…fikiran masih tidak lekang teringat akan anak-anak murid, terhibur mengenangkan telatah mereka. Mungkin inilah kasih seorang guru, baru sehari tak dapat hadir ke sekolah (MC), terbayang-bayang wajah-wajah comel mereka. Em, baru anak murid, bukan anak sendiri lagi… Memang luar biasa erti kasih sayang anugerah Allah s.w.t…rasa bahagia kerana turut dapat merasai nikmat ini…
Terkenang ketika membawa para pelajar ke Pusat Islam JB mengikuti Bengkel Teknik Menjawab Soalan ERT SPM 08…Sebaik sahaja tiba ke destinasi, semua pelajar seolah-olah tak nak turun dari bas, maklumlah, semua pelajar dari sekolah lain terdiri daripada calon perempuan…tetapi berbeza dengan SMK Permas Jaya 3, calon subjek ERT semuanya lelaki…sebagai guru, terpaksa kuatkan semangat mereka dan memberi motivasi agar keyakinan diri mereka tetap dapat dipertahankan…
Rasa penat masih belum hilang lagi…semalam baru selesai menguruskan anak-anak murid turut serta ke Program Anak Angkat dan Program gotong-royong di Kg. Senibong, namun rasa puas lantaran dapat memberi peluang kepada mereka melihat dunia luar dan bersama masyarakat, agar minda tidak hanya dalam kepompong sendiri. Sekurang-kurangnya, pengalaman mereka apabila berada di rumah keluarga angkat dapat memberi pengajaran kehidupan yang berguna buat mereka…Erti kesyukuran, dan yang paling penting, erti persaudaraan sesama Islam. Lantaran Islam itu cukup fleksibel buat penganutnya, malah pelbagai program sosial boleh dilaksanakan, namun perlu mengikut landasannya…
Rasa bersyukur bergelar guru, pelbagai minat dan potensi pelajar dapat digilap...Benarlah, semua manusia punya potensi yang sama, namun bergantung bagaimana potensi itu digilap…itulah yang membezakannya…Sukar diluahkan betapa istimewanya anak-anak murid ini...apa yang nyata adalah - Mereka begitu ISTIMEWA…
:: SINAR BARU ::
Alhamdulilah...setinggi-tinggi kesyukuran buat Yang Maha Esa, masih diberi nikmat iman dan Islam, namun apa yang penting masih lagi diberi peluang melaksanakan tanggungjawab khalifah di muka bumi ini, walau terkadang tidak menang tangan dengan tugas dan amanah di sekolah. Namun, jauh di sudut hati, terasa beruntungnya diri dianugerahkan seorang teman dan sahabat, insyaAllah sahabat di dunia dan di akhirat untuk sama-sama menyebarkan roh Islam buat mad’u di sekolah, hanya dengan satu matlamat, mewujudkan bi’ah Islamiyyah demi redha-Nya.
Tanggal 27 hingga 29 Jun yang lalu, dipilih Allah bersama sahabat, Kak Ida mengiringi 7 orang pelajar ke Program Pembangunan Nuqaba’ Sekolah-sekolah Menengah Negeri Johor anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan KRJ Innovation bertempat di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Perjalanan yang membawa banyak pengalaman yang amat bermakna, lantaran para pelajar beroleh pendedahan mengenai pengendalian usrah dan ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada bagi seorang nuqaba’, rasa syukur...anak-anak didik diberi peluang sama seperti kami bergiat di arena dakwah sepanjang berada di kampus dulu. Apa yang amat terkesan bagi jiwa anak-anak ini, mereka dapat menghayati erti kemanisan sebenar ukhwah dan usrah dalam memainkan peranan sebagai agen kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Malah, mereka seolah-olah mendapat semangat baru untuk sama-sama berkongsi kemanisan berusrah bersama-sama sahabat-sahabat lain di sekolah.
Malah, peluang berkenalan dan berkongsi pengalaman bersama-sama sahabat dari sekolah lain cukup memberi erti yang besar kepada mereka mengenai persaudaraan Islam. Peluang ini juga dapat membuka minda dan pemikiran mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar seterusnya menjadi naqib, dan yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini.
Namun, apa yang cukup menyentuh hati kami sebagai guru, anak-anak ini dapat melaksanakan usrah sebaik sahaja tiba di sekolah. Terbukti, anak-anak ini punya jiwa kebaikan, cuma perlu ada sokongan dan bimbingan. Tiada kata yang paling bermakna dari cikgu buat kalian melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana anak-anak murid cikgu punya semangat baru untuk melakukan perubahan di sekolah kita. Sama-sama kita doakan, moga roh ukhwah dan Islam dapat sama-sama kita rasai bersama warga SMK Permas Jaya 3...