wahyu tursina

Wednesday, March 25, 2009

 

:: REHLAH SAKINAH ::


"Nikmat paling manis, apabila Allah mentarbiyyah kita dengan pelbagai ujian, namun...tautan ukhwah mampu berhadapan dengan sejuta kesulitan yang memberi suntikan semangat perjuangan. Alirkan halawatul ukhwah dan kesungguhan berjuang melalui robitah hati..."


-Moga ukhwah ini kekal ke syurga-

Monday, March 02, 2009

 

:: KEINDAHAN BERSAMAMU ::




Alhamdulillah, rasa syukur tidak terhingga kerana masih diberi peluang menjadi hamba kepada Khaliq yang Maha Pengasih…sekaligus diberi peluang untuk merasai nikmat ukhuwwah ini. InsyaAllah kerana-Nya…

KEINDAHAN BERSAMAMU…Meruntun jiwa, melihat betapa agungnya yang Maha Esa apabila diselitkan rasa kasih sayang dalam jiwa manusia untuk yang berhak, buat sahabat, ibu bapa dan guru.

Tahniah buat adik-adik cikgu kerana dapat melalui proses tarbiyyah yang begitu cantik apabila didedahkan dengan keindahan kasih sayang bersama mereka yang masih ada bersama kita. Mungkin, kadang-kadang kita alpa dan sering lupa dengan insan yang ada di sekeliling kita. Namun, hati tidak tertahan.... rasa terkilan apabila insan itu sudah tiada dan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Buat adik-adik cikgu, moga tangisan keinsafan yang jatuh dari sinaran mata adik-adik menjadi penghapus segala dosa-dosa silam. Ayuh dik, kita teruskan perjuangan ini... kita teruskan keindahan ini... Keindahan bersama Islam...Agar terus tenang jiwa kita dengan penghayatan semaksimum mungkin...

Sekalung tahniah dan perhargaan buat Kelab Remaja JIM yang bersama-sama membimbing adik-adik di SMK Permas Jaya 3. Jasa kalian, hanya Tuhan yang mampu membalasnya. Moga ukhwah yang dijalin dengan kasih sayang kerana Allah ini terus mewangi...

Thursday, October 23, 2008

 

:: INDAHNYA UKHWAH INI... ::


Kehadiran Syawal dinanti-nantikan seluruh ummat Islam. Alhamdulillah, syukur kepada Khaliq lantaran masih diberi peluang merasai nikmat ‘hari kembali kepada fitrah’. Selawat dan salam atas junjungan mulia kekasih Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w. Terdetik di hati, bertuahnya diri kerana dapat melalui madrasah Ramadhan al-Mubarak dengan penuh keazaman agar bulan ini menjadi medan tarbiyyah terbaik untuk melalui kehidupan bulan-bulan berikutnya dengan penuh bermakna.

Mengharungi kehidupan…susah senang silih berganti, suka duka perjuangan mematangkan diri. Namun kekuatan hadir apabila merenung kembali makna kehidupan sebenar…persediaan menghadapi hari penghakiman kelak.

Hingga kini, jemputan ke rumah terbuka masih tidak putus-putus. Rasa syukur kerana berada di kawasan perumahan yang cukup mementingkan ukhwah dan semangat kejiranan yang begitu tinggi. Dan, yang paling penting adalah peluang bermarhaban bersama jiran-jiran. Sekurang-kurangnya hati-hati dapat diikat dengan keutuhan tali persaudaraan sesama Islam di bulan ini melalui aktiviti seperti ini. Ya Allah, syukur atas segala nikmat ini....

Dalam keriangan menyambut Syawal juga, debaran makin kuat terasa menantikan tarikh keramat anak-anak murid menduduki peperiksaan SPM. Jadual peperiksaan SPM diedarkan pagi tadi. Kelihatan garis kerisauan di wajah mereka. “Cikgu, doakan kami ye.. kami takut sangat...” Tersentuh hati mendengar suara ikhlas salah seorang anak murid. InsyaAllah, cikgu sentiasa doakan untuk kalian...

Teringat akan sambutan hari lahir yang diadakan secara mengejut oleh anak-anak murid. Rasa terharu kerana mereka mengingati 29 Julai. Terima kasih adik-adik cikgu...

Tidak terluah dengan kata-kata...namun, dapat dirasai betapa indahnya ukhwah ini. Baik bersama jiran, bersama anak-anak murid...Benarlah, ukhwah itu indah apabila disandarkan segalanya hanya pada ALLAH....

“Ya Allah, berikan aku peluang untuk melakukan amal kebaikan walau di mana jua berada demi keredhaan-Mu...”

Monday, July 14, 2008

 

:: MEREKA ISTIMEWA ::





Lama menetap skrin, tak tau apa yang hendak ditulis…fikiran masih tidak lekang teringat akan anak-anak murid, terhibur mengenangkan telatah mereka. Mungkin inilah kasih seorang guru, baru sehari tak dapat hadir ke sekolah (MC), terbayang-bayang wajah-wajah comel mereka. Em, baru anak murid, bukan anak sendiri lagi… Memang luar biasa erti kasih sayang anugerah Allah s.w.t…rasa bahagia kerana turut dapat merasai nikmat ini…

Terkenang ketika membawa para pelajar ke Pusat Islam JB mengikuti Bengkel Teknik Menjawab Soalan ERT SPM 08…Sebaik sahaja tiba ke destinasi, semua pelajar seolah-olah tak nak turun dari bas, maklumlah, semua pelajar dari sekolah lain terdiri daripada calon perempuan…tetapi berbeza dengan SMK Permas Jaya 3, calon subjek ERT semuanya lelaki…sebagai guru, terpaksa kuatkan semangat mereka dan memberi motivasi agar keyakinan diri mereka tetap dapat dipertahankan…


Rasa penat masih belum hilang lagi…semalam baru selesai menguruskan anak-anak murid turut serta ke Program Anak Angkat dan Program gotong-royong di Kg. Senibong, namun rasa puas lantaran dapat memberi peluang kepada mereka melihat dunia luar dan bersama masyarakat, agar minda tidak hanya dalam kepompong sendiri. Sekurang-kurangnya, pengalaman mereka apabila berada di rumah keluarga angkat dapat memberi pengajaran kehidupan yang berguna buat mereka…Erti kesyukuran, dan yang paling penting, erti persaudaraan sesama Islam. Lantaran Islam itu cukup fleksibel buat penganutnya, malah pelbagai program sosial boleh dilaksanakan, namun perlu mengikut landasannya…

Rasa bersyukur bergelar guru, pelbagai minat dan potensi pelajar dapat digilap...Benarlah, semua manusia punya potensi yang sama, namun bergantung bagaimana potensi itu digilap…itulah yang membezakannya…Sukar diluahkan betapa istimewanya anak-anak murid ini...apa yang nyata adalah - Mereka begitu ISTIMEWA…

 

:: SINAR BARU ::




Alhamdulilah...setinggi-tinggi kesyukuran buat Yang Maha Esa, masih diberi nikmat iman dan Islam, namun apa yang penting masih lagi diberi peluang melaksanakan tanggungjawab khalifah di muka bumi ini, walau terkadang tidak menang tangan dengan tugas dan amanah di sekolah. Namun, jauh di sudut hati, terasa beruntungnya diri dianugerahkan seorang teman dan sahabat, insyaAllah sahabat di dunia dan di akhirat untuk sama-sama menyebarkan roh Islam buat mad’u di sekolah, hanya dengan satu matlamat, mewujudkan bi’ah Islamiyyah demi redha-Nya.


Tanggal 27 hingga 29 Jun yang lalu, dipilih Allah bersama sahabat, Kak Ida mengiringi 7 orang pelajar ke Program Pembangunan Nuqaba’ Sekolah-sekolah Menengah Negeri Johor anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan KRJ Innovation bertempat di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Perjalanan yang membawa banyak pengalaman yang amat bermakna, lantaran para pelajar beroleh pendedahan mengenai pengendalian usrah dan ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada bagi seorang nuqaba’, rasa syukur...anak-anak didik diberi peluang sama seperti kami bergiat di arena dakwah sepanjang berada di kampus dulu. Apa yang amat terkesan bagi jiwa anak-anak ini, mereka dapat menghayati erti kemanisan sebenar ukhwah dan usrah dalam memainkan peranan sebagai agen kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Malah, mereka seolah-olah mendapat semangat baru untuk sama-sama berkongsi kemanisan berusrah bersama-sama sahabat-sahabat lain di sekolah.

Malah, peluang berkenalan dan berkongsi pengalaman bersama-sama sahabat dari sekolah lain cukup memberi erti yang besar kepada mereka mengenai persaudaraan Islam. Peluang ini juga dapat membuka minda dan pemikiran mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar seterusnya menjadi naqib, dan yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini.

Namun, apa yang cukup menyentuh hati kami sebagai guru, anak-anak ini dapat melaksanakan usrah sebaik sahaja tiba di sekolah. Terbukti, anak-anak ini punya jiwa kebaikan, cuma perlu ada sokongan dan bimbingan. Tiada kata yang paling bermakna dari cikgu buat kalian melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana anak-anak murid cikgu punya semangat baru untuk melakukan perubahan di sekolah kita. Sama-sama kita doakan, moga roh ukhwah dan Islam dapat sama-sama kita rasai bersama warga SMK Permas Jaya 3...

Monday, May 26, 2008

 

:: PENYEJUK HATI ::







Teruskan perjuangan kalian, moga terus berjaya menuju kecemerlangan…di dunia dan di akhirat. Doa cikgu sentiasa mengiringi kalian walau di mana berada...


"Ya ALLAH...Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah Ya ALLAH akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah hati-hati ini akan jalan-Nya yang sebenar, penuhkan hati-hati ini dengan cahaya Robbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu.."


"Ya ALLAH, berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikanlah orang yang mencintai-Mu mencintai aku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu!"

Friday, December 07, 2007

 

:: KEMBARA ::

Pengembaraan kehidupan pasti belum berakhir selagi nadi terus berdenyut. Tidak tahu apa lagi perencanaan Ilahi, masih adakah sirna atau sebaliknya...Semuanya pendidikan tidak langsung dari Pencipta, tanda masih lagi dalam pemerhatian dan jagaan-Nya. Tatkala kita rebah hampir tersungkur, terkadang terasa lemah, rupa-rupanya nur hidayah terus terlorong untuk kita bangkit semula, perbaiki diri menjadi lebih baik. Salam mujahadah! Bersama mengislah diri ke arah redha-Nya!

Tuesday, September 25, 2007

 

:: CABARAN MENANTI ::

Syukur alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam. Masih lagi diberi nikmat iman dan Islam, diberi peluang memiliki hati bersifat kehambaan pada Pencipta. Lantas masih sempat meraikan Ramadhan Al-Mubarak, bimbang-bimbang Ramadhan terakhir buat kita. Satu peringatan bersama.

Hampir lima bulan menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda, rasanya baru semalam bersama sahabat tidak mengenal erti jerih payah menunut ilmu di bumi Selatan. Alhamdulillah, bersama sahabat-sahabat lain bergelar graduan, berjaya memperoleh segulung ijazah berkat usaha, dan yang lebih penting dengan izin dan redha-Nya.

Mengimbau kenangan, rasanya terlalu banyak pelajaran yang diterima sepanjang bergelar mahasiswa, benarlah kata orang, zaman sekolah, zaman kampus, punya keindahan dan kemanisan yang berbeza. Itulah kehidupan, yang pastinya ia adalah perencanaan Ilahi untuk kita jadi yang terbaik, tanda peluang sentiasa terbuka untuk jadi ummat yang terbaik. Tujuh hari seminggu rasanya tidak cukup waktu untuk membahagikan masa untuk akademik dan aktiviti berpersatuan, yang sememangnya itulah pelajaran bermakna untuk belajar mengenai kheidupan. Di situlah tempat bermula diri mengenal tanggungjawab yang paling besar, memegang amanah khalifah di muka bumi. Baru kukenal erti kehambaan yang sebenar, baru kukenal makna di sebalik taklifan kekhalifahan. Ibarat segenggam lidi di tangan, amat sukar dipatahkan. Itulah simbol terbaik menunjukkan kekatan bila sahabat seperjuangan bersatu, mencuba sedaya upaya, bermula dengan sekecil-kecil usaha, namun hanya dengan satu matlamat, ISLAM.

Masih segar dalam ingatan pesanan seoarang senior, zaman kampus adalah tempat kita belajar, tapi apabila berada di luar masyarakat kelak, itulah realiti sebenar, menguji apa yang diperoleh selama ini.

Dan kini, zaman kampus sudah berlalu, memberi petanda bahawa cabaran besar berada di hadapan. Bait pesanan itu masih lagi bermain-main dalam ingatan. Cabaran di depan mata, dan yang pastinya masih ada yang yang menanti. Tidak henti-henti masih lagi menguji. Tapi, mampukah diri? Kepada-NYa kupohon kekuatan. Berbekalkan keberanian, tekad semangat dan yang paling penting, kefahaman.