wahyu tursina

Tuesday, May 22, 2007

 

:: RISALAH USRAH ::

:: USRAH QIYADAH PKPIM ::

Suruhan supaya mengingati Allah setiap masa

Al-Munafiqun: 9-11

22 Mei 2007 bersamaan 5 Jamadilawal 1428 H

Oleh:

Norwahyu Ab. Manaf

Surah Al-Munafiqun membicarakan perihal orang-orang Munafiq dengan menyebut beberapa peristiwa dan kata-kata yang diceritakan telah berlaku dan diucapkan mereka. Terdapat juga kecaman yang keras terhadap perangai kaum Munafiqin dan pembohongan-pembohongan, tipu daya, pakatan dan tindak tanduk mereka yang jahat, juga dendam kesumat dan rancangan jahat mereka terhadap kaum Muslimin yang tersimpan di dalam hati mereka, juga sifat-sifat keji hati nurani mereka.

Namun di akhir surah ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman untuk mengingatkan mereka supaya jangan terbabit dengan mana-mana sifat orang-orang Munafiq walaupun dari jauh. Malah, Allah memuliakan orang-orang mu’min yang dibariskan Allah dalam barisan-Nya bersama-sama Rasulullah s.a.w. dengan menunjukkan seruannya yang akhir kepada mereka supaya membersihkan diri dari segala sifat yang menyerupai sifat-sifat kaum Munafiqin dan supaya mereka lebih mengutamakan darjat yang mulia itu dari harta kekayaan dan anak-anak.

9: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilekakan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian, merekalah orang-orang yang rugi.”

Harta dan kekayaan yang dianugerahkan boleh melalaikan sekiranya hati tidak mempunyai kesedaran tentang matlamat kewujudannya, tidak merasa mempunyai suatu matlamat yang tinggi, yang layak dengan makhluk insan yang mendapat tiupan roh dari Allah. Di dalam roh inilah Allah meletakkan rasa kerinduan untuk melaksanakan sesetengah sifat Illahiyah mengikut batas kemampuan manusia. Justeru, tugas khilafah di muka bumi dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan adanya hubungan dengan Allah yang menjadi sumber menerima pengajaran-pengajaran yang boleh menjadikannya makhluk insan. Barang siapa yang lalai dan cuai dari membuat hubungan dengan sumber itu, “Merekalah orang-orang yang rugi”.

10. “Dan belanjakanlah rezeki yang telah kami kurniakan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu dikunjungi maut, lalu ia pun berkata: Wahai Tuhanku! Mengapakah tidak engkau tempohkan ajalku kepada satu tempoh yang dekat (sebentar) supaya dapat aku bersedekah dan menjadi orang-orang yang soleh?”

Al-Quran juga mengingatkan tentang rezeki yang ada di tangan mereka adalah datangnya dari sisi Allah yang mereka beriman kepada-Nya dan yang menyuruh mereka supaya membelanjakan harta mereka ke jalan kebajikan. Lantaran harta yang ditinggalkan tidak memberi sebarang manfaat, melainkan harta yang dibelanjakan ke jalan kebajikan yang menjadikan dirinya termasuk dalam golongan orang yang soleh. Tika dikunjungi maut, masih berharap dan berangan-angan agar ajalnya ditangguhkan, sedangkan mana mungkin ianya boleh berlaku?

11. “Dan Allah tidak akan menempohkan seseorang apabila telah tiba ajalnya, dan Allah Maha Mengetahui segala perbuatan yang dilakukan mereka.”

Bersama muhasabah diri, moga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa mengingati-Nya. Mencari sinar, demi memburu redha-Nya…Ameen..