wahyu tursina

Tuesday, April 24, 2007

 

KEMBALI PADA-NYA

Manusia sering alpa, terkadang leka dengan angan-angan di alam fantasi. Mudah alah dengan bisikan syaitan yang tak pernah jemu menghasut anak-anak Adam. Bila diri terasa lemah-longlai tiada tempat bergantung, baru meraba-raba memohon petunjuk memohon kekuatan dari-Nya.

27 April 2004. Tarikh keramat. Teringat akan pemergian arwah Kak Teh. Jam 1 petang, mendapat mesej dari sahabat, Kak Teh meninggal dunia ketika sedang menyempurnakan urusan ummat. Innalillah…terimbau kenangan bersama arwah Kak Teh yang begitu ceria orangnya. Begitu komited dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Beruntung arwah Kak Teh…menjadi insan pilihan-Nya, diambil oleh Pencipta tika diri masih dalam nur peliharaan-Nya. Mungkin selamatkan arwah Kak Teh dari kekalutan dan masalah yang berlaku, dugaan dan noda dunia yang memungkinkan palitan dosa.

27 April 2007. Genap 3 tahun pemergian arwah Kak Teh. Pemergian seorang mujahidah, memberi kesan yang cukup besar kepada ahli usrah. Mengajak bersama muhasabah mengkoreksi diri. Begitulah kasih sayang Allah, tidak pernah lupa akan hamba-Nya yang kadang kala kabur dengan tuntutan nafsu. Diturunkan peringatan berhikmah supaya kembali dekat pada-Nya tika hampir tersasar keliru mengejar haluan yang tak pasti…Memilih kebahagiaan yang sementara berbanding janji-Nya yang pasti…

Pemergiannya…Suatu peristiwa yang memberi peringatan dan tauladan buat seluruh ahli usrah. Bersama muhasabah diri, jangan tunggu sampai esok. Bimbang terhijab petunjuk dan hidayah buat mad’u lantaran kesilapan kita sendiri. Apa yang pasti, kebenaran tidak boleh selari dengan kebatilan! Jangan tunggu sehingga peristiwa ITU berulang lagi!

Buat arwah Kak Teh, moga berbahagia di alam abadi…


Wasiat Arwah Kak Teh

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya mati itu benar, akhirat itu benar, timbangan amal itu benar. Wahai Tuhan, jika Engkau tarik nyawaku suatu hari maka inilah segala kenangan, segala harapan, luahan yang ingin saya sampaikan kepada mereka yang saya sayangi dan kepada mereka yang telah Allah kurniakan kepada saya dalam jemaah ini. Kepada sahabat – sahabat sekalian, sekiranya saya ditentukan tidak dapat bersama kalian dengarlah wasiat saya ini.

Pertama sekali, maafkanlah atas segala kesalahan yang saya lakukan selama kita bersama dan redhakanlah juga segalanya sebab saya banyak sangat rasanya lakukan apa yang tidak memuaskan hati semua pihak serta halalkan makan minum saya. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana menentukan saya untuk berada dalam jemaah ini. Walaupun dalam waktu yang singkat ini, banyak yang saya pelajari, tapi saya akui saya tidak mampu berikan yang terbaik kepada jemaah…Islam. Mintalah kekuatan dari Allah untuk terus bersama – sama menegakkan kalimahNya. Saya tidak mahu kawan – kawan semua ada yang berpecah. Taknak lagi ada yang gugur. Saya sayang kawan – kawan semua. Insya Allah kalau kita sentiasa dekatkan diri dengan Allah, Allah lagi dekat dengan kita dan segala masalah dapat ditempuh bersama dan kalau menangis pun, kita menangislah bersama.

Harapan saya pada semua kawan-kawan, ajaklah semua kawan kita untuk bersama-sama dengan kita. Sebab kalau boleh kita bukan nak bahagia dan bersama di dunia, tapi yang lebih penting di Akhirat kelak, kita masih dapat bahagia bersama-sama. Ingatlah Allah sangat dekat dengan kita.

Ya Allah, Engkau persatukanlah hati-hati kami dan pereratkanlah ikatan iman antara kami untuk menuju jalan yang Engkau redhai. Wasalam

SOLIHAH OSMAN
( 15 Oktober 2003 )